suria

Nenek 106 Tahun Diusung Ke Pusat Pemindahan

Sinayan Lajuan Mangundal, 106, terpaksa diusung ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Rukom di sini, Rabu setelah rumahnya di Kampung Rukom Ulu dinaik air.

PITAS: Sinayan Lajuan Mangundal, 106, terpaksa diusung ke  pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Rukom di sini semalam setelah rumahnya di Kampung Rukom Ulu dinaik air.

Dia yang uzur diusung penduduk kampung kira-kira 4 pagi.

Nenek ini berpindah bersama anak perempuannya Modongoi Tenajuan, 65, setelah rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam Selasa lalu.

"Kami sedar rumah kami dinaiki air selepas pintu rumah kami diketuk jiran.

Ketika itu saya dan ibu saya serta seorang lagi anak perempuan saya sedang tidur.

"Saya kemudiannya mengejutkan ahli keluarga saya yang lain dan ibu saya terpaksa didukung dengan bantuan beberapa penduduk kampung untuk dibawa ke pusat pemindahan," kata Modongoi.

Sementara itu seorang lagi mangsa dari kampung yang sama, Joslim Yahun, 40, berkata dia dan isterinya serta empat orang anak mereka berpindah kira-kira  5 pagi.

"Setelah rumah kami mula dinaiki air, saya segera mengambil dokumen yang penting dan membawa isteri dan anak-anak kami ke pusat pemindahan," katanya.

Seorang mangsa dari Kampung Ulu Lokumulu, Gasilin Disil, 56, berkata banjir itu adalah yang terburuk pernah melanda kampung berkenaan.

"Rumah jiran saya tenggelam sepenuhnya dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya sendiri mengalami kerugian apabila kereta saya tenggelam," katanya.

Sehingga 1.20 tengah hari tadi, seramai 66 keluarga melibatkan 214 mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan di SK Rukom, Dewan SK Pekan 2 dan Dewan Terbuka Kampung Bilangau Besar.

Sebanyak 16 kampung terjejas antaranya Kampung Bilangau Besar, Kampung Rukom Ulu, Kampung Sinasak Batu, Kampung Sibaung, Kampung Kusilad, Kampung Pandan Mendamai, Kampung Salimpodon Darat, Kampung Pinggan-Pinggan, Kampung Indah dan Kampung Dandun.-- Bernama


Lajuan, Pitas

Artikel Lain