suria

Bunuh Murid: Mahkamah Persekutuan Kembalikan Hukuman Mati Ke Atas Guru Agama

PUTRAJAYA: Seorang guru agama berdepan hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan terhadapnya kerana membunuh seorang murid berusia tujuh tahun, lebih lima tahun lalu.

Hanif Mohamad Ali, 32, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas setelah mahkamah itu mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati, namun mensabitkannya terhadap pertuduhan yang dikurangkan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Panel lima anggota yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar pada Khamis menerima rayuan pihak pendakwaan untuk mengakaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Perlis yang mendapati Hanif, yang pada masa itu warden asrama sebuah sekolah rendah agama, bersalah membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee, murid Tahun Satu, di Asrama Putra, Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis antara 6 petang dan tengah malam 31 Mac 2011.

Sementara itu, panel hakim menolak rayuan Hanif terhadap hukuman penjara.

Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan lain dalam panel itu ialah Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Hanif yang berpakaian penjara berwarna hijau kelihatan tenang semasa mahkamah mengumumkan keputusannya.

Selepas prosiding berakhir, Hanif dilihat memeluk anggota keluarga termasuk ibunya yang kelihatan menangis.

Menurut fakta kes, kanak-kanak lelaki itu dipaksa berdiri dengan tangannya diikat ke atas pada batang besi dan dipukul di kepala serta ditampar kerana didakwa mencuri wang. 

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata keterangan pakar patologi menunjukkan kanak-kanak itu dicekik selama empat minit, dan mengambil kira dia diikat serta dipukul menunjukkan Hanif berniat mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak itu yang menyebabkan kematiannya.

Peguam Hanif, Ariff Azami Hussein berhujah tidak ada penyalaharahan oleh Mahkamah Rayuan semasa mengurangkan pertuduhan terhadap anak guamannya.

Mahkamah Tinggi Perlis pada awalnya meminda pertuduhan terhadap Hanif daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat di akhir kes
pendakwaan.

Hanif kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan dan dihukum penjara 18 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Hanif membela diri atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi.

Di akhir kes pembelaan Hanif didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh MahkamahTinggi. -Bernama

Bunuh murid, Guru Agama, Hukuman Mati

Artikel Berikut

Artikel Lain