suria

Batal Lesen PSV Jika Pemandu Bas Lebihi Had Laju - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) akan dibatalkan jika pemandu bas ekspres memandu melebihi had laju, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau juga berkata denda sebanyak RM300 juga akan dikenakan kepada syarikat bas ekspres yang tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan lebih 300km.

"Saya akan berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menggantung permit syarikat bas yang tidak menyediakan pemandu kedua," katanya kepada pemberita selepas pemantauan mengejut perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dekat sini, Sabtu.

Langkah itu susulan kemalangan di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah ke utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR), Pagoh, Johor pada 26 Dis lepas yang mengakibatkan 14 penumpang bas ekspres maut termasuk pemandu manakala 16 lagi cedera.

Terdahulu, Liow diberi taklimat keselamatan jalan raya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon.

Mengulas mengenai kemalangan maut itu, Liow berkata analisis awal MIROS mendapati pemandu bas itu memandu melebihi 90km sejam dan tidak mempunyai pemandu kedua.

"Ini adalah kesalahan dan syarikat bas terbabit akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa atas semua kesalahan...laporan awal kemalangan akan diketahui dalam masa dua minggu lagi," katanya.

Sementara itu, Liow berkata Ops Jalan yang dilaksanakan JPJ sempena perayaan Hari Krismas pada 24 hingga 26 Dis lepas, mengeluarkan 4,000 saman atas pelbagai kesalahan daripada 12,600 kenderaan yang diperiksa.

Dalam operasi bersepadu di seluruh negara itu, 90 notis dikeluarkan ke atas 1,434 bas yang diperiksa, katanya.

Dalam pemantauan bas di TBS hari ini, Liow berkata pihaknya mengesan pelbagai kesalahan antaranya membawa barangan yang tidak dibenarkan iaitu motosikal dan tidak mempunyai pemandu kedua.

"Dalam tinjauan tadi, terdapat syarikat bas yang tidak mengikut peraturan dengan membawa tiga motosikal di tempat menyimpan beg dan kami telah arahkan keluarkan kerana ia barangan yang tidak diluluskan dan tidak diberi kebenaran.

"Saman juga dikenakan kepada syarikat bas yang tidak sediakan pemandu kedua," katanya. - BERNAMA

Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain