suria

Malaysia Airports Tuntut Pampasan RM298 Juta Daripada Perunding KLIA2

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memfailkan notis timbang tara terhadap tiga syarikat perunding yang terlibat dalam projek pembangunan KLIA2, membuat tuntutan berjumlah RM298 juta ditambah faedah.

Dalam tiga kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata ia telah mengeluarkan notis timbang tara kepada KLIA Consultancy Services Sdn Bhd (KLIACS), Straits Consulting Engineers Sdn Bhd (SCE) dan syarikat bersekutu HSS Engineers Bhd, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) berhubung dakwaan pelanggaran kewajiban.

Bagi KLIACS, obligasi itu telah dilindungi di bawah perjanjian perundingan pengurusan projek yang ditandatangani pada Disember 2010 manakala tanggungan untuk dua yang lain telah dinyatakan dalam memorandum perjanjian yang ditandatangani pada April 2010.

Menurut MAHB, ia telah melantik KLIACS untuk menyediakan perkhidmatan perundingan bagi cadangan pembangunan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang kemudiannya dinamakan sebagai KLIA2 dan landasan ketiga.

Dua lagi perunding lain, sementara itu, telah diupah untuk menyediakan perkhidmatan perundingan awam dan struktur untuk cadangan pembangunan LCCT dan perkhidmatan yang berkaitan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Pengendali lapangan terbang itu tidak memberikan butiran berhubung 'kerugian dan kerosakan' yang dialami, yang membawa kepada timbangtara.

Mengenai jumlah wang yang diminta, MAHB berkata ia telah membuat tuntutan untuk bertanggungjawab bagi kerugian dan kerosakan secara keseluruhan atau sebahagian yang dianggarkan berjumlah RM148.9 juta setakat Oktober 2016 kepada KLIACS.

Ia memohon sebanyak RM84.3 juta, dianggarkan daripada SCE setakat Oktober 2016 dan RM64.6 juta dianggarkan daripada HSSI sehingga Mei 2016.

Bagi setiap tiga syarikat ini, MAHB juga menuntut faedah, kos dan sebarang relif lain yang penimbang tara fikirkan patut dan adil.

Pengumuman kepada Bursa Malaysia tidak memberi butir-butir pertikaian, tetapi MAHB dikritik kerana kelewatan panjang dalam pembukaan KLIA2 yang bernilai RM4 bilion.

Pada bulan Mei 2013, MAHB berkata ia akan mendapatkan ganti rugi daripada kontraktor berhubung kelewatan pembinaan KLIA2, yang dijadual dibuka pada 28 Jun 2013.

KLIA2 pada mulanya dirancang siap pada 2011 tetapi tarikh akhirnya telah dilanjutkan beberapa kali. Ia akhirnya beroperasi bermula Mei 2014.

Seterusnya, Jawatankuasa Kira-Kira menggesa Ketua Audit Negara menjalankan audit penuh ke atas KLIA2 untuk menyiasat tentang kelewatan itu dan belanja yang lebih.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HSS Engineers berkata sekutunya HSSI telah mengambil langkah-langkah untuk mendapatkan asas untuk tuntutan itu dan dokumen sokongan daripada MAHB.

"HSSI telah mengambil tindakan untuk mencari asas untuk dakwaan tuntutan serta dokumen sokongan daripada MAHB berkaitan perkara sama.

"Sehingga tarikh pengumuman ini, MAHB gagal menyediakan dokumen sokongan yang diminta HSSI," kata HEB.

HSSI memandang dakwaan tuntutan itu sebagai tidak berasas dan tanpa merit dan telah menafi dan menyangkal tuntuan berkenaan.

"Selain itu, HEB dan HSSI berpandangan yang notis timbang tara itu pramatang kerana MAHB dan HSSI masih dalam rundingan sebagaimana diperlukan berikutan MOA itu," katanya.

Mengenai kesan kewangan, HEB berkata, HSSI diperlukan memegang polisi insurans perlindungan profesional yang memuaskan hati MAHB.

"Berikutan terma MOA itu, lembaga berpendapat liabiliti HSSI mungkin terhad kepada jumlah dilindungi polisi insurans perlindungan profesional yang diserahkan kepada MAHB," katanya.

Ia menambah, lembaga itu juga tidak menjangka isu tersebut akan mempunyai kesan penting ke atas kontrak dalam tangan serta pendapatan masa depan HEB.

KLIA2, MAHB, syarikat perunding

Artikel Berikut

Artikel Lain