suria

Tiada Perancangan Beri Bantuan Makanan Dalam Bentuk Kupon - JKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat belum mempunyai perancangan untuk memberikan bantuan makanan kepada kumpulan sasaran dalam bentuk kupon.

Timbalan menterinya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata ini kerana kementerian melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) telah menyediakan pelbagai bantuan yang lebih baik dalam bentuk pemberian makanan, duit (elaun) dan perkhidmatan.

"Semua bantuan yang telah diberikan adalah untuk makanan dan sara hidup.

Selain itu terdapat juga yayasan swasta seperti MyKasih yang turut menyediakan sejumlah RM80 untuk membeli makanan di pasar raya tertentu," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang ingin tahu sama ada kementerian akan memberi bantuan kepada keluarga yang memerlukan dalam bentuk kupon.

Dalam soalan asalnya, Mohd Anwar meminta penjelasan sama ada kementerian merancang menaikkan bantuan sara hidup daripada RM300 sebulan kepada RM500 sebulan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini.

Chew dalam jawapannya berkata kadar bantuan yang disalurkan ketika ini telah mengambil kira keperluan semasa dan bukanlah untuk menampung sepenuhnya kos sara hidup tetapi sebagai langkah sementara bagi membantu kumpulan sasar itu.

Jelasnya, dalam usaha membantu golongan sasar meningkatkan taraf hidup mereka, kerajaan turut menggunakan pendekatan 'productive welfare' dengan membuat penempatan pekerjaan sama ada dengan majikan atau bekerja sendiri, memberi kemahiran dan latihan yang bersesuaian. - BERNAMA

Chew Mei Fun, JKM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain