suria

Didenda RM4,500 Gara-Gara Cacah Tatu

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Gara-gara memiliki tatu melambangkan kumpulan kongsi gelap di bahagian dada, seorang pemandu lori didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Majistret Husna Dzulkifly turut memerintahkan S.Kumaraselvam, 28, menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda.

Tertuduh mengaku bersalah meletakkan tatu angka 36 sebagai lambang kumpulan kongsi gelap 'Geng 36' di bahagian dadanya di pusat hiburan Celebrity's, Hotel Renaissance, Corner Off Jalan Sultan Ismail di sini, pukul 12.30 malam, pada 7 Ogos lepas.

Kumaraselvam didakwa mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM15,000.

Mengikut fakta kes, hasil pemeriksaan anggota polis terhadap tertuduh di pusat hiburan itu, mendapati ada tatu lambang 36 pada bahagian dada, disyaki anggota kumpulan kongsi gelap Geng 36.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu denda minimum, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. -  BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain