suria

Sebutan Kes Bunuh Pengasas AmBank 17 Januari

Hussain Ahmad Najadi.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan 17 Januari untuk sebutan kes seorang bekas pemandu trak tunda yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

Pada 5 September 2014 Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman mati terhadap Koong Swee Kwan, bagaimanapun kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan dan hukuman mati itu.

Timbalan Pendaftar Aizatul Akmal Maharani menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes itu di dalam kamarnya dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Hamdan Hamzah.

Koong diwakili peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh dan Naizatul Zamrina Karizaman.

Wan Shaharuddin ketika ditemui pemberita berkata tarikh itu ditetapkan untuk sebutan untuk penyerahan dokumen dan bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes.

Katanya kes itu akan disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Pada 14 Disember lepas, panel lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membenarkan rayuan Koong supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula di hadapan seorang hakim baharu.

Koong, 47, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai, 2013.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah kerana cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 52.

Bagaimanapun rayuannya terhadap hukuman penjara 18 tahun itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 25 November 2015. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain