suria

Panglima ATM Baharu Mulakan Tugas Rasmi

Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi melakukan pemeriksaan perbarisan pada hari pertama beliau bertugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang baharu. - FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memulakan tugas rasminya sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu pada Isnin.

Beliau memasuki pejabat Panglima ATM di Wisma Pertahanan di sini pukul 9 pagi sambil diiringi oleh Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Timbalan Panglima Tentera Udara Left Jen Datuk Seri Affendi Buang.

Mohamed Affandi yang menggantikan Panglima ATM sebelum ini Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang bersara pada 18 Dis lalu berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik dengan mendahulukan kepentingan ATM daripada kepentingan sendiri dan kepentingan lain.

"Saya akan sedaya upaya menjadikan ATM ke arah yang lebih baik dan meneruskan usaha yang ditinggalkan oleh Panglima ATM sebelum ini yang banyak menyumbang bakti dan jasa kepada ATM," katanya kepada pemberita di pejabat beliau, di sini.

Sementara itu, Zulkiple yang menggantikan Raja Mohamed Affandi sebagai Panglima Tentera Darat juga memulakan tugas baharu di Pejabat Panglima Tentera Darat di Wisma Pertahanan. 

Beliau melahirkan rasa syukur atas kurniaan itu dan akan sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi dengan penuh ikhlas dan dedikasi. - BERNAMA

Artikel Lain