suria

Dua Beradik Maut Kenderaan Terbabas Hilang Kawalan

KUANTAN: Dua beradik maut setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di KM21 Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Ubai dekat sini malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero berkenaan iaitu Mohd Nazri Ismail, 23, dan adik perempuannya Nur Hidayati, 19.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Mohd Nazri itu hilang kawalan ketika cuba mengelak daripada melanggar seekor lembu yang melintas jalan hingga terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Berikutan kejadian itu, dua lagi adik-beradik mereka iaitu Muhammad Hassan, 21, dan Muhammad Nasir, 15, serta anak angkat keluarga mereka, Mohd Shazrul Amri Shaari, 23, cedera parah.

Difahamkan ketika itu kesemua mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Lepar Baru, Tanah Putih di Pekan untuk ke bandar Kuantan.

Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat manakala Muhammad Hasan, Muhammad Nasir dan Mohd Shazrul Amri turut mendapat rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan. - BERNAMA

kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain