suria

Saksi Beritahu Tertuduh Kedua Ada Beli Tong Dram

Tertuduh berkaitan kes bunuh Kevin Morais dibawa ke lokasi kereta milik mendiang ditemui, dekat Kampung Sungai Samak, bulan lalu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais ada membeli sebuah tong dram daripadanya pada tahun 2015.

Lim Khai Meng, 63, seorang penjual lori, berkata tertuduh kedua itu, G.Gunasekaran membeli tong dram berkenaan dengan harga RM20 dan memberitahunya dia mahu menggunakan tong itu untuk membuang sampah.

"Pada hari tersebut (tahun 2015), ada orang nak beli tong dram untuk dijadikan tong sampah.

"Tidak ada tawar menawar. Dia sebut harga RM20, saya pun jual," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam perbicaraan hari ke-35, kes pembunuhan Kevin Morais.

Pada 20 September lepas, seorang pegawai polis dalam keterangannnya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa sebuah tong dram mengandungi mayat Kevin Morais, yang disumbat dalam guni dan disimen, ditemui dalam sebuah paya hitam dan busuk di Subang Jaya pada 16 September 2015.

Lim, saksi pendakwaan ke-53 itu juga merupakan pemilik pusat servis lori dan beliau turut memproses dan menjual minyak hitam terpakai.

Jelasnya tong dram yang dijual kepada tertuduh itu adalah tong dram terpakai yang digunakan untuk menyimpan sisa minyak hitam di kedainya dan itu merupakan kali pertama beliau menjual tong dram kepada orang persendirian sepanjang menjalankan perniagaan sejak lima tahun lepas.

Lim berkata kira-kira empat atau lima buah tong dram disimpan di kedainya dan dijual kepada kedai besi buruk sekiranya tong itu berkarat.

"Pada awalnya dia (tertuduh) tanya saya nak jual (atau tidak) tapi saya kata tak jual, tapi selepas dia pujuk cakap nak buat tong sampah, saya jual," katanya yang memberitahu tertuduh kedua itu hadir berdua dengan seorang lagi lelaki tetapi beliau tidak dapat mengingati wajah lelaki kedua itu.

Katanya kedua-dua lelaki itu kemudian mengangkat tong dram yang berwarna coklat dan terdapat sedikit kesan karat itu ke dalam sebuah kenderaan jenis Mitsubishi berwarna hitam yang kelihatan seperti kenderaan pacuan empat roda.

Kepada soalan Wan Shaharuddin mengenai saiz tong itu dan adakah tong itu boleh memuatkan seorang manusia, Lim berkata: "Itu saya tidak pasti sebab tong itu agak dalam sedalam 200 meter.

"Pada pandangan saya kalau saya berdiri (dalam tong) tu boleh masuk tapi tak nampak semua (seluruh badan) lah," katanya.

Enam lelaki - Gunasekaran, 48; R.Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M.Vishwanath, 26; S.Nimalan, 23 dan Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada Selasa. - BERNAMA


Kevin Morais, kes bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Lain