suria

PAS Perlu Fikir Semula Tanding Permatang Pauh - Nurul Izzah

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menasihatkan PAS supaya memikirkan semula mengenai hasrat untuk bertanding di Permatang Pauh pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, PAS seharusnya memberi tumpuan kepada usaha untuk melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya.

Malah katanya, hasrat PAS tersebut juga hanya akan mengelirukan pengundi di kawasan itu.

“Saya rasa (PAS) patut fikirkan semula keputusan mereka itu dan memberi fokus untuk berlawan dengan BN," katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, Sabtu.

Dilaporkan, PAS Permatang Pauh mahu bertanding di kawasan parlimen itu dan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada pilihan raya umum akan datang.

DUN di Permatang Pauh adalah Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Menurut Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad, mereka berhak meletakkan calon berikutan ia tidak mempunyai hubungan lagi dengan Pakatan Harapan di negeri itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Terdahulu, Amanah Pulau Pinang dilaporkan berminat bertanding di Permatang Pasir yang selama ini menjadi kubu kuat PAS, kini disandang oleh Datuk Salleh Man Mat Aji.

Kerusi DUN Seberang Jaya dan Penanti pula disandang oleh wakil rakyat PKR, masing-masing Dr Afif Bahardin dan Dr Norlela Ariffin.

Nurul Izzah, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain