suria

MB Kelantan Umum Cuti Pada 13 Disember

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengisytiharkan tarikh 13 Disember sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat negeri itu meraikan hari pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan bersama barisan exco pada Rabu.

Beliau berkata, cuti pada hari Selasa itu membolehkan Tuanku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra atau Sultan Muhammad V bertemu dengan rakyat sebelum baginda berlepas ke Kuala Lumpur untuk ditabalkan sebagai Yang Dipertua Agong ke-15 bagi menggantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sultan Muhammad V, 47, mewarisi takhta diraja sebagai Sultan Kelantan ke-29 bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ismail ibni Sultan Yahya Petra yang melepaskan takhta baginda atas masalah kesihatan.

Sementara itu, Ahmad Yakob berkata, beliau dan pegawai kerajaan akan mengiringi Sultan Muhammad V ke Kuala Lumpur.

Sultan Muhammad V, Ahmad Yakob

Artikel Lain