suria

NGO Boleh Disiasat Isu Dana Asing - Nur Jazlan

PETALING JAYA: Kerajaan boleh menyiasat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika disyaki menerima dana asing, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Jika didapati ada kaitan pembiayaan terhadap NGO untuk terlibat dalam politik hingga memudaratkan demokrasi berparlimen, maka mereka boleh disiasat.

"Undang-undang tidak membenarkan NGO untuk terlibat dalam aktiviti politik, jadi jika mereka disyaki melakukan perkara-perkara itu maka mereka boleh disiasat," katanya kepada The Star Online pada Selasa.

Merujuk kepada Arab Spring pada 2010, beliau berkata, ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi kumpulan-kumpulan masyarakat sivil untuk menumbangkan kerajaan apabila "NGO digunakan sebagai proksi bagi individu-individu tertentu untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah".

"Pertubuhan seperti Malaysiakini dan Majlis Peguam juga menerima pembiayaan. Jika wang itu benar-benar digunakan untuk kepentingan masyarakat awam, itu tidak mengapa. Tetapi jika ia digunakan untuk tujuan lain, maka pihak polis mempunyai hak untuk menyiasat," katanya.

Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) pada 18 November lalu, iaitu malam sebelum perhimpunan Bersih 5 berhubung pembiayaan kumpulan itu untuk aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Pada 28 November, pejabat Empower juga telah diserbu oleh pihak polis untuk mengumpul bukti dan dokumen berdasarkan maklumat bahawa NGO tersebut menerima dana dari luar negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

HSD: Jodoh Lapan Minit

Artikel Lain