suria

Pengurusan Kes Saman Najib Terhadap Harakah 9 Mac

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menetapkan 9 Mac tahun depan untuk pengurusan kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nik Alia Hanafi mewakili Najib dan peguam Wan Rohimi Wan Daud mewakili pengarah urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan ketua editor Harakahdaily, Taufek Yahya.

Wan Rohimi ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan tarikh itu sementara menunggu dua rayuan perdana menteri didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac depan.

Rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 April lepas, yang menolak permohonan Najib untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu lagi rayuan ialah mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei lepas yang menolak permohonan Najib supaya saman itu diputuskan berdasarkan fakta undang-undang iaitu tanpa perbicaraan penuh.

Pada 18 Mac 2015, Najib memfailkan saman terhadap Rosli dan Taufek kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah mengenai 1MDB yang ditulis oleh Rosli pada 19 Februari tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata artikel itu menggambarkan yang beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu berniat untuk mencemarkan reputasi beliau.

Beliau juga mendakwa bahawa Taufek telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel ditulis Rosli adalah betul sebelum menerbitkannya.

Perdana Menteri berkata kedua-dua defendan sengaja menerbitkan artikel itu dengan agenda peribadi untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap beliau. - BERNAMA

Najib Tun Razak, Harakah

Artikel Berikut

Artikel Lain