suria

Budak Perempuan Mangsa Dera Diberi Rawatan Psikiatri

Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemukan di dalam tong di Flat Paya Nahu pada 24 November lalu.

ALOR SETAR: Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya akan diberi rawatan psikiatri untuk menilai tahap trauma yang dialaminya, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata kanak-kanak berusia empat tahun tersebut yang kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani menunjukkan proses pemulihan positif sejak dimasukkan ke wad pada 24 November lalu.

"Dia semakin pulih dan boleh membuka kedua-dua belah matanya selepas bengkak di bahagian mata dan mukanya surut.

"Kanak-kanak ini juga diletakkan di bawah penjagaan Pakar Psikiatri Kanak-Kanak bagi menilai tahap trauma yang dialaminya serta merancang rawatan yang diperlukan antaranya dengan menjalani "art therapy"," katanya.

Beliau berkata Pakar Telinga Hidung dan Tekak turut memberi penjagaan dan merancang untuk menjalankan ujian pendengaran sebelum kanak-kanak terbabit dibenarkan keluar dari hospital.

"Dia telah dapat menyesuaikan diri bersama jururawat yang merawatnya di dalam wad berbanding keadaannya yang trauma melihat orang dewasa sebelum ini," kata Dr Norhizan.

Sementara itu beliau berkata keputusan untuk membenarkan kanak-kanak terbabit keluar dari hospital akan dibuat selepas berbincang dengan pihak pelindung kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kes tersebut terbongkar pada Khamis lalu apabila pihak polis menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dibungkus dengan toto dan diletakkan di dalam tong ikan di sebuah flat di Sungai Petani. - BERNAMA


mayat, mangsa dera, rawatan psikiatri

Artikel Berikut

Artikel Lain