suria

Wujud MRSM Berbayar - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah memberi cadangan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) agar menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar.

Beliau berkata ini kerana beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang anak mereka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

Permohonan kemasukan ke MRSM kini memberi keutamaan kepada pelajar dari keluarga berpendatan rendah terutama dari luar bandar.

"Oleh itu saya lontarkan idea untuk mewujudkan MRSM berbayar kepada Majlis Amanah Rakyat untuk dikaji. MRSM ini akan diwujudkan di Lembah Kelang dan mungkin mengenakan yuran yang sedikit rendah berbanding sekolah swasta atau sekolah antarabangsa.

"Namun kadar yuran MRSM berbayar akan bergantung kepada kos. Sekarang ia masih di peringkat terlalu awal untuk berbincang mengenai yurannya," katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini pada Isnin.

Sementara itu semasa berucap pada perhimpunan itu, Ismail Sabri berkata pelajar dari golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan miskin bandar akan diberi keutamaan memasuki MRSM mulai tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain