suria

Pengorbanan Bantu Rakan Pesakit Kencing Manis

TELUK INTAN: Melihat rakannya, R. Doraisamy yang menghidap penyakit kencing manis semakin kabur penglihatan dan hidup sebatang kara, Mohd Yusuf Rohani mengambil keputusan untuk menjaga rakannya itu.
 
Mereka tidak mempunyai talian persaudaraan, malah mempunyai perbezaan latar belakang budaya dan agama, namun ia bukan masalah bagi Mohd Yusuf, salah seorang pemenang Anugerah Golden Hearts Star tahun ini.

Mohd Yusuf, kini berusia 47 tahun sedang melakukan yang terbaik untuk menjaga rakannya itu yang lebih mesra dengan panggilan D.O.

Bahasa juga tidak pernah menjadi penghalang antara mereka kerana ketika sekolah rendah, Mohd Yusuf bersekolah di sebuah sekolah Tamil.

Kedua-dua mereka telah berkomunikasi dalam bahasa Tamil sejak mula berkenalan.

"Saya percayakan Yusuf lebih daripada saya percayakan keluarga saya sendiri," kata Doraisamy yang kini berusia 66 tahun.

Beliau kini berkerusi roda selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat diabetes.

"Dia seorang yang memahami saya," katanya.

Doraisamy mempunyai enam adik-beradik, dua daripada mereka telah meninggal dunia. Tetapi kebanyakan ahli keluarganya tidak mampu untuk menghulurkan bantuan buat dirinya.

"Mereka tidak dapat memberikan wang untuk perbelanjaan perubatan saya," katanya.

Doraisamy yang tidak berkahwin kini tinggal bersama adik perempuannya dan suami di Ladang Selabak, tempat di mana mereka bekerja.

Mohd Yusuf melawatnya setiap hari, menyediakan keperluannya, menjaganya dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan.

Dengan gaji harian kira-kira RM70 sehari, agak sukar untuk pasangan suami isteri itu untuk menjaga Doraisamy, jadi Mohd Yusuf sudi berkongsi apa yang dimilikinya.

Kaki Doraisamy terpaksa dipotong ketika berusia awal 50-an dan sejak itulah Mohd Yusuf tampil membantu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain