suria

Lebih 50 Rakyat Malaysia Mahu Tinggalkan IS Tapi Takut Dibunuh

KUALA LUMPUR: Lebih 50 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daesh di Syria dan Iraq ingin pulang ke negara ini tetapi takut dibunuh rakan mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Mereka telah berbaiah (membuat ikrar) ketika mula menyertai Daesh dan akan  menerima ugutan bunuh daripada rakan militan jika hendak lari atau meninggalkan kumpulan itu.

"Jika hendak pulang ke tanah air, mereka perlu berusaha dan mencari jalan sendiri untuk balik. Mereka terperangkap di sana. Tetapi jika ada cara, kami akan bantu kerana mereka rakyat negara ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Keselamatan Negara' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak kepada kira-kira 700 penuntut dan kakitangan UIAM di sini, Khamis.

Khalid berkata segelintir daripada mereka mengoyak dan membakar pasport ketika menyertai Daesh.

Katanya mereka yang pulang daripada menyertai Daesh di Syria dan Iraq tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang di negara ini.

Khalid berkata terdapat 60 rakyat Malaysia yang dikesan sehingga kini menyertai Daesh di Syria.

"Daripada jumlah itu, 14 merupakan pengebom bunuh diri yang dilaporkan telah maut di Syria ketika menyebarkan propaganda dan fahaman mereka," katanya.

Beliau berkata 260 anggota Daesh telah ditahan setakat ini dan sedang menjalani hukuman.

Turut hadir pada syarahan berkenaan adalah presiden UIAM merangkap penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Militan IS, Khalid Abu Bakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain