suria

Jawatankuasa Khas Siasat Enam Kementerian

Ali ketika berucap di sesi bersama media berkaitan Laporan Ketua Audit Negara di Putrajaya, Rabu.

PUTRAJAYA: Enam Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk menyiasat setiap kementerian yang menerima teguran susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2.

Siasatan tersebut meliputi 10 teguran punitif yang melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian semasa melaksanakan tugas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, siasatan itu untuk mendapatkan keterangan relevan daripada saksi dan pegawai yang terlibat dalam kes yang dilaporkan.

"Sehubungan itu, tindakan tatatertib, surcaj atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawai terlibat sekiranya didapati wujud asas kukuh bahawa penjawat awam telah melakukan salah laku atau kecuaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Media susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 di sini, Rabu.

Terdahulu dalam pembentangannya, Ali berkata, enam kementerian berkenaan adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tambahnya, ia termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Jabatan Perdana Menteri.

Ali berkata, berdasarkan siasatan tersebut sehingga 22 November 2016, didapati tiga daripada 10 teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib melibatkan lima pegawai.

"Tiga teguran tersebut melibatkan pengurusan perolehan Jabatan Penjara di Kementerian Dalam Negeri, Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 iaitu pengujian, pentauliahan dan proses kerja-kerja semakan dan perakuan siap nombor 1 telah dikeluarkan walaupun kerja belum siap di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

"Dua teguran bagi pengurusan perolehan peralatan pengajaran dan pembelajaran di Kementerian Pendidikan Tinggi di mana Jabatan Audit Negara dengan Jawatankuasa Siasatan Khas akan melihat semula perkara ini," katanya.

Beliau berkata, lima teguran lagi didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas.

Bagaimanapun katanya, kelima-lima teguran itu memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa.

Artikel Sebelum

Pemuda Maut Ditikam Bapa

Artikel Lain