suria

Tindakan Akan Diambil Ke Atas Salah Laku Skim Penstabilan Minyak Masak

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil ke atas sebarang perkara luar aturan atau salah laku yang berlaku dalam Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS), kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Mah dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kementerian itu mengambil serius mengenai penemuan berkaitan COSS yang merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 yang dikeluarkan pada Isnin.

"Kuota minyak masak telah dibekukan sejak 8 Jun 2016.  Sejak itu tiada kuota dikeluarkan sehingga kini.

Sepanjang lima bulan saya di kementerian, saya selalu memastikan kementerian memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara sepanjang proses pengauditan.  Kementerian ini komited untuk mendukung ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik," katanya.   

Beliau juga berkata, kementerian ini akan terus memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pihak berkuasa berkaitan di dalam isu ini.

Sejak pelantikan beliau Julai lepas, Mah berkata langkah telah diambil untuk meningkatkan bukan sahaja pengurusan kementerian tetapi juga keberkesanan penyampaian polisi.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 yang dikeluarkan semalam mendapati kerajaan terpaksa membayar subsidi tambahan sebanyak RM2.92 juta ekoran kelemahan dalam pengurusan COSS.   

Jumlah subsidi yang dibayar dari 2013 sehingga April 2016 ialah RM2.388 bilion. - Bernama

Artikel Sebelum

Polis Cedera Ditembak Suspek

Artikel Berikut

Artikel Lain