suria

Bersih Minta Bantuan Polis Halang Baju Merah

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada Khamis bukan sahaja tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa, sebaliknya meminta campur tangan polis untuk menghalang Gerakan Baju Merah mengadakan perhimpunan serentak dengan demonstrasi 'aman' yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Sabtu ini.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, desakan itu dibuat selepas penyokong Gerakan Baju Merah melakukan beberapa siri keganasan terhadap peserta konvoi Bersih baru-baru ini tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

"Saya setuju, Baju Merah ada hak untuk berhimpun tapi mereka lakukan keganasan sejak tujuh minggu lalu tapi tiada tindakan diambil.

"Dalam mana-mana perhimpunan kami mahu ia diadakan secara aman. Justeru mereka tidak seharusnya berhimpun pada hari dan lokasi yang sama dengan Bersih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersih di sini Khamis.

Maria yang kecewa kerana tiada tindakan keras diambil terhadap peserta Baju Merah mahu polis bertindak segera bagi mengelak berlakunya insiden keganasan yang dicetuskan gerakan yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos itu.

"Masih ada masa untuk polis bertindak dan mereka perlu bertindak sekarang untuk menghalang keganasan yang sudah menjadi amalan biasa Gerakan Baju Merah," katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa rakyat supaya turun padang dan tidak gentar dengan ugutan Gerakan Baju Merah kerana Bersih menyediakan kira-kira 1,400 sukarelawan untuk mengendalikan semua insiden konfrontasi, keganasan dan hal keselamatan awam.

"Saya minta orang ramai supaya jangan takut kerana jawatankuasa Bersih sudah menyediakan pasukan khas berkaitan soal keselamatan. Kami tahu perhimpunan Bersih akan diadakan secara aman," katanya.

Ambiga turut mengingatkan polis mengenai Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman (PPA) untuk mengelakkan Baju Merah mengadakan demonstrasi balas serentak dengan perhimpunan Bersih yang dikhuatiri akan mencetuskan keganasan pada Sabtu ini.

"Kita minta polis guna pakai Seksyen 18 PPA yang menetapkan bahawa pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu daerah polis akan memberikan alternatif untuk perhimpunan balas yang akan dianjurkan pada masa, tarikh atau tempat, jika pegawai mendapati bahawa perhimpunan balas itu akan menyebabkan pertelingkahan," katanya.

Bersih merancang untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 19 November, manakala Jamal telah berikrar untuk berkumpul di mana sahaja NGO itu akan berkumpul pada hari yang sama.

Bersih, Baju Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain