suria

Pembuat Tatu Ditahan Bersama Heroin Bernilai RM13,350

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Seorang pembuat tatu ditahan bersama heroin seberat 845 gram bernilai RM13,350 yang disembunyikan dalam peti keselamatan di rumah sewanya di Persiaran Midlands, di sini pada Ahad.

Pemeriksaan polis ke rumah lelaki berusia 37 tahun itu dibuat pada 6.30 petang berikutan laporan polis oleh rakannya yang khuatir pembuat tatu terbabit diculik apabila telah beberapa hari tidak menemuinya.

"Tiga paket lutsinar berisi heroin ditemui dalam peti keselamatan yang disimpan dalam almari bilik lelaki terbabit," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid pada sidang akhbar di sini Isnin.

Beliau berkata lelaki yang menetap lebih 10 tahun di Australia sebelum pulang ke Malaysia tahun lepas itu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sejak enam bulan lepas.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata polis menahan dua lelaki geng curi motosikal dan merampas rangka serta pelbagai komponen motosikal dalam serbuan di Pulau Tikus, di sini Ahad.

"Kedua-dua lelaki berusia 20-an itu dipercayai terlibat dalam lebih 10 kes curi motosikal di daerah Timur Laut," katanya. - BERNAMA

pembuat tatu, heroin

Artikel Lain