suria

Pemandu Bas Ekspres Mengaku Tidak Bersalah Memandu Cuai

IPOH: Seorang pemandu bas ekspres mengaku tidak bersalah di Mahkamah Trafik di sini atas tuduhan memandu secara tidak cermat dan tidak berhati-hati, empat bulan lepas.

Kadershah Sabaruddin, 51, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Khas Trafik Ipoh di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, Kadershah didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 2.45 petang di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pada 10 Julai lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 dan penjara 12 bulan.

Pegawai pendakwa Inspektor Kelvin Meng menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000, namun tertuduh merayu ia dikurangkan kerana beliau tidak bekerja ketika ini selain mempunyai tanggungan. 

Siti Hanum membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Januari 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Dalam kejadian 10 Julai lalu, sebuah bas yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur merempuh 10 kenderaan dekat Terowong Menora semasa kesesakan lalu lintas. - Bernama

Artikel Berikut

Rafizi Dihukum Penjara 18 Bulan

Artikel Lain