suria

Parkir HSA Dinaiki Air Pasang

Kawasan parkir Hospital Sultanah Aminah dinaiki air pasang ekoran hujan lebat dan dikaitkan dengan fenomena Supermoon.

JOHOR BAHRU: Kawasan parkir berhampiran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dinaiki air setinggi 0.2 meter pada pagi tadi  susulan fenomena Supermoon yang membawa hujan lebat dan air pasang besar.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru, Leftenan (PA) Mohd Aziz Jupri berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada anggota polis yang bertugas di HSA, kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Kejadian ini berlaku disebabkan pertembungan air hujan lebat dan air pasang, namun ia telah beransur surut menjelang tengah hari. 

"Seramai lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama sebuah pacuan empat roda telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk memantau situasi yang berlaku dan keadaan dilaporkan baik dengan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Mohd Aziz berkata di kawasan-kawasan lain, tiada aduan diterima berhubung kejadian yang sama.

Namun, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati kerana air pasang masih lagi dijangka berlaku pada pukul 10.52 malam Isnin.

"Air diramalkan naik sehingga paras 320 sentimeter dari paras laut, lebih tinggi daripada paras ketinggian pagi tadi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain