suria

Operasi Majlis Belia Berjalan Walaupun Pejabat Disita

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamalauddin Abu Bakar menyertai acara 'fun walk' pada majlis pelancaran Program Fit Masjid Peringkat Kebangsaan 2016 di Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi

SEREMBAN: Operasi Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNNS) tetap berjalan seperti biasa walaupun pejabat mereka di Bukit Chedang di sini disita berikutan kegagalan membayar hutang tertunggak sebanyak RM390,000.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris berkata MBNNS kini menjalankan operasi harian mereka di pejabat Majlis Belia di daerah-daerah yang lain.

"Operasi masih berjalan seperti biasa. Malah program Fit Masjid hari ini pun MBNNS memainkan peranan yang sangat baik dan bekerjasama dalam menjayakan program ini.

"Saya yakin, secara pentadbiran operasinya langsung tidak terjejas setakat ini," katanya kepada media selepas program Fit Masjid 2016 peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Ditanya sekiranya ada unsur penyalahgunaan kuasa, Zaifulbahri berkata hal itu diserahkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan lanjut.

Pada 2 Nov lepas, aset di pejabat MBNNS telah dilelong berikutan kegagalannya melunaskan hutang kepada dua syarikat pembekal, Kemah Enterprise dan FR Mutiara (M) Sdn Bhd, untuk pembelian barangan sempena Pesta Sukan Kebudayaan Belia 2012.

Sebanyak 52 barangan pejabat milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang bernilai RM15,000 antaranya komputer, meja, kerusi, alat penghawa dingin, televisyen, kabinet dan kipas telah dilelong.

MBNNS didakwa telah membuat pesanan belian sebanyak 200 khemah, 800 kerusi, 200 meja, 2,500 bantal dan 2,500 tilam bernilai RM390,000 pada 25 Sept 2012 dengan Kemah Enterprise dan FR Mutiara (M) Sdn Bhd.

Namun, selepas penganjuran program tersebut, MBNNS gagal membayar walaupun kes telah difailkan di mahkamah dan writ penyitaan dikeluarkan.

Bagaimanapun, MBNNS mendakwa ada pihak lain menggunakan nama pertubuhan itu untuk kepentingan peribadi sehingga terbeban dengan hutang sebanyak RM390,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain