suria

Reman Dua Lelaki Bunuh, Kerat Pemandu Jengkaut Dilanjutkan

MUAR: Tempoh reman dua lelaki yang disyaki membunuh dan mengerat anggota badan seorang pemandu jengkaut, Ahad lepas, dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 20 November ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohad Idris Samsuri, yang dihubungi pada Ahad berkata lanjutan reman terhadap dua suspek berusia 19 dan 56 tahun itu bagi membolehkan siasatan terperinci dibuat setelah reman terdahulu, berakhir hari ini.

Beliau berkata polis juga akan berusaha mendapatkan lanjutan reman ke atas seorang lagi suspek iaitu seorang janda berusia 23 tahun yang dijangka tamat tempoh remannya, Isnin.

Kes pembunuhan itu terbongkar apabila seorang penduduk yang mahu membersih kawasan rumahnya, menemui lima bungkusan plastik hitam berisi keratan anggota badan manusia disorokkan dalam longkang rumahnya di Kampung Kesang Laut, di sini.

Melalui siasatan awal, polis mengesahkan mangsa Omar Miskam, 49, berasal dari Panchor, Muar. Berikutan itu, tiga suspek ditahan iaitu dua lelaki dan seorang wanita.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain