suria

Pejabat Adenan Nafi Rancangan Pemisahan Sarawak

KUCHING: Sarawak akan terus memperjuangkan hak mereka sebagai rakan bersama namun dakwaan untuk berpisah daripada Malaysia tidak pernah menjadi pertimbangan, demikian menurut Pejabat Ketua Menteri.

Ia juga menolak dakwaan bahawa Tan Sri Adenan Satem membuat kenyataan terbuka bahawa negeri itu akan menarik diri jika negara terus dibelenggu pelbagai masalah.

"Sejak kebelakangan ini telah diedarkan secara meluas di media sosial bahawa Ketua Menteri kononnya menyalahkan Kerajaaan Persekutuan dan Umno kerana pelbagai masalah yang memberi kesan kepada negara.

"Di samping itu posting tersebut juga mendakwa bahawa Ketua Menteri mengancam untuk menarik diri dari Malaysia jika semua masalah yang didakwa tidak diselesaikan.

"Pejabat Ketua Menteri menafikan bahawa Adenan pernah membuat apa-apa kenyataan terbuka berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pejabat Ketua Menteri juga menyifatkan posting yang dilaporkan berasal daripada akaun Facebook "Sarawak Keluar Malaysia 2021" sebagai salah dan perbuatan itu dengan terang untuk meletakkan Adenan dalam situasi yang buruk di mata Kerajaan Persekutuan.

"Ketua Menteri telah berkali-kali berkata bahawa Sarawak tidak akan menarik diri dari Malaysia tetapi itu tidak bermakna kerajaan negeri tidak boleh memperjuangkan hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold," kata kenyataan itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain