suria

Permata Seni Berminat Wujud Program Pertukaran Dengan China - Rosmah

BEIJING: Permata Seni berminat untuk mewujudkan program pertukaran dengan Central Conservatory of Music Middle School, sekolah muzik tersohor China, yang berjaya melahirkan ramai ahli muzik terkenal China.

Penaung Permata Negara Datin Seri Rosmah Mansor berkata Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan ditugaskan untuk berbincang dengan sekolah tersebut berkenaan program yang dicadangkan itu.

Rosmah, yang mengiringi suami beliau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi ke China sejak Isnin, melawat sekolah itu pada Rabu lepas.

Beliau menyatakan rasa kagum dengan program yang dijalankan di sekolah itu dalam mendidik dan memperkembangkan bakat muda dalam bidang muzik.

"Sekolah ini tidak hanya melatih pelajar bermain alat muzik barat, tetapi juga alat muzik tradisional," katanya kepada media Malaysia di sini.Rosmah berkata sekolah berasrama penuh itu, yang saban tahun mengambil 100 pelajar terbaik sekolah rendah dan 100 orang lagi dari sekolah menengah, berumur dari lapan hingga 16 tahun, menggabungkan pendidikan dalam bidang akademik serta muzik.

Bagi Permata Seni pula, kelas muzik hanya dijalankan pada hujung minggu, katanya.

Rosmah berkata beliau merancang untuk menganjurkan konsert bersama dengan menggabungkan pelajar daripada Permata Seni dan Central Conservatory of Music Middle School, yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.

Sementara itu, mengenai pertemuan beliau dengan isteri Presiden China Peng Liyuan pada Khamis malam, Rosmah berkata selain bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu, Liyuan dan beliau berkongsi minat dalam sukan badminton, terutamanya debaran ketika menyaksikan pertemuan sengit antara jaguh dari Malaysia Datuk Lee Chong Wei menentang pemain China Lin Dan, dalam temasya Olimpik Rio baru-baru ini.

Rosmah berkata beliau diberitahu bahawa Chong Wei mempunyai ramai peminat setia di China.Kata Rosmah, Liyuan juga memberitahu beliau tentang penyanyi terkenal Malaysia di China terutamanya yang mengambil bahagian dalam rancangan realiti bakat di TV China iaitu Fish Leong, Lee Pei Ling dan Adinda Tasy Mansor.

Lee Pei Ling, 16, dari Taiping, Perak, membuat penampilan sulungnya dalam pertandingan nyanyian terbaharu, 'Sing! China', manakala Adinda Tasya Mansor, 11, juga dari Taiping, muncul dalam pertandingan nyanyian 'Let's Sing Kids'.

Adinda, yang mendendangkan lagu Mandarin berjudul 'Next Stop in the Future', dilaporkan menerima tepukan sambil berdiri daripada penonton dan juri pertandingan itu.-- Bernama

Permata Seni, Rosmah Mansor, China

Artikel Sebelum

Dua Maut Dihempap Kren Cerucuk

Artikel Lain