suria

Pensyarah Cacat Penglihatan Menaruh Harapan Bertemu Bekas Guru Tadika

Ooi Hock Tiam

GEORGE TOWN: Ooi Hock Tiam dilahirkan sebagai insan cacat penglihatan tetapi berjaya mengatasi ketidakupayaannya dan bergelar pensyarah sejarah Eropah di sebuah universiti terbaik Malaysia.

Tetapi Hock Tiam tidak pernah melupakan guru tadika yang membimbingnya 48 tahun lalu dan mahu mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Sehingga kini, Hock Tiam, 54, masih tidak dapat mencari Goh Lay Khim, yang menjadi guru tadikanya di St Nicholas Home selama beberapa bulan pada 1968.

"Saya berumur enam tahun ketika itu. Saya hanya tahu cakap Hokkien. Semua guru lain tegas dan hanya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, jadi saya tak tahu apa yang mereka katakan.

"Goh menenangkan saya, bercakap Hokkien dan merupakan orang pertama yang mengajar saya bahasa Inggeris dan Braille."

Hock Tiam telah menjadi pensyarah sejarah untuk beratus-ratus pelajar kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia sejak 1990, dan tidak ada sehari pun beliau melupakan jasa Lay Khim yang sanggup bersabar dengan dirinya yang ketika itu disifatkan sebagai seorang kanak-kanak buta yang ketakutan.

Bagaimana beliau telah dapat menyesuaikan diri dengan dunianya. Ini dibuktikan apabila beliau mempunyai sebuah perpustakaan Braille peribadi dan buku-buku audio, komputer yang dapat membaca tugasan pelajar untuk disemaknya dan pengimbas dengan pengecaman aksara optik.

Beliau juga mahir menggunakan fungsi khas iPhone untuk insan cacat penglihatan.

"Dia mungkin mencecah umur 70 tahun sekarang. Saya telah menghabiskan masa bertahun-tahun mencarinya. Dia ada disebut dalam laporan tahunan St Nicholas 1968 tetapi tidak ada maklumat lanjut."

Hock Tiam juga tahu bahawa gurunya itu telah berkahwin dengan 'Dr Ng' pada 1974 dan menjemput orang-orang dari St Nicholas Home untuk majlis makan malam perkahwinannya tetapi beliau terlalu muda untuk hadir pada ketika itu.

"Merayu melalui The Star adalah pilihan terakhir saya. Saya berdoa dia masih hidup dan sekurang-kurangnya berharap rakan-rakan atau keluarganya akan membaca rayuan ini dan menghubungi saya."

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Lay Khim boleh menulis ke e-mel [email protected].

Artikel Lain