suria

Dua Lelaki Kurung Warga Bangladesh Ditahan

SEREMBAN: Dua lelaki ditahan Rabu lepas selepas dipercayai terlibat dalam kes mengurung empat warga Bangladesh bagi tujuan pemerasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad berkata kedua-dua suspek warga tempatan berusia 19 dan 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Simpang Pertang dekat sini pada 9.10 malam.

"Pada 31 Oktober lepas, sebuah keluarga warganegara Bangladesh membuat laporan polis di Perak bahawa seorang anggota keluarga mereka telah ke Negeri Sembilan untuk mencari kerja," katanya.

Mangsa dikatakan dibawa beberapa lelaki ke suatu tempat, seterusnya dipaksa menghubungi keluarga dan meminta bayaran RM2,000 sebanyak dua kali.

Keluarga mangsa membuat bayaran yang diminta melalui bank, katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Nor Azman berkata hasil siasatan, polis berjaya mengesan kedua-dua suspek di rumah kurungan itu.

"Di premis berkenaan, polis menemui mangsa yang berusia 21 tahun dan tiga lagi rakan senegara berusia antara 28 hingga 40 tahun yang dikurung bagi tujuan pemerasan," katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah bagi tujuan pemerasan. - BERNAMA

warga Bangladesh, pemerasan, PDRM

Artikel Sebelum

KWSP Perkenal Akaun Emas

Artikel Lain