suria

Ikan Sangkar: Guan Eng Didakwa Kelirukan Rakyat P.Pinang

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan industri penternakan ikan dalam sangkar bermula selepas DAP mentadbir kerajaan Pulau Pinang, sedangkan hakikatnya industri itu dimulakan sejak 1999.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata industri itu dimulakan sejak 1999 semasa ditadbir Barisan Nasional (BN) dengan projek perintis penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Gedong dilancarkan oleh bekas Menteri Pertanian Datuk Dr Sulaiman Daud.

"Kesemua pencapaian yang kini dimiliki oleh penduduk negeri ini adalah hasil daripada asas kukuh yang telah didirikan oleh kerajaan BN. Kenyataan Guan Eng adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat.

"Hakikatnya, tindakan Lim adalah seperti yang dikatakan dalam pepatah 'Lembu Punya Susu, Sapi Punya Nama'," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Guan Eng sebelum ini berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa industri yang mampu mendatangkan hasil berbilion ringgit itu dimulakan di bawah pentadbiran berprinsipkan Cekap, Amanah dan Telus (CAT) kerajaan negeri pimpinan DAP pada 2008.

Chang Yeow berkata, mengikut statistik Jabatan Perikanan Malaysia, Pulau Pinang mempunyai seramai 355 penternak ikan dalam sangkar sejak tahun 2001 dengan hasil pengeluaran lebih 2,093 metrik tan pada tahun yang sama.

"Industri ini telah lama bertapak di negeri ini dengan sokongan kerajaan BN sebelum Lim sampai tetapi kini beliau dakwa ini projek kerajaan CAT," katanya.
-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain