suria

Usahawan Malaysia Hadapi Dilema Masalah Cukai Di Australia

KUALA LUMPUR: Usahawan industri kayu Malaysia Sir Yii Ann Hii, berjaya merealisasikan impiannya.

Semuanya berjalan seperti yang dirancang, hasil perancangan teliti sejak beliau berusia 21 tahun, ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Deakin University Australia, di Geelong, sebuah bandar pelabuhan di negeri Victoria.

Selepas menamatkan pengajian pada 1984, beliau menyertai perniagaan kayu keluarganya di Malaysia dan Papua New Guinea.

Empat tahun kemudian beliau memulakan perniagaannya sendiri.

Pada 1990, beliau memohon visa perniagaan di Australia, dan permohonannya diluluskan dengan segera, memandangkan warga Malaysia yang berasal dari Sibu, Sarawak ini sudah terkenal dalam industri kayu.

Tetapi kini, usahawan yang berusia 56 tahun ini dalam dilema.

Beliau mahu kembali ke Australia untuk bertemu isteri, Beh Soo Hian, yang beliau kenali sejak masih menuntut dan enam anaknya, tetapi beliau tahu, dia akan menghadapi pendakwaan oleh pihak berkuasa di sana.

Kerajaan Australia memerintahkan beliau membayar kira-kira A$50 juta dalam bentuk cukai, dan sekiranya gagal, beliau akan dihantar ke penjara.

Beliau telah meminta jaminan daripada Pejabat Percukaian Australia (ATO) bahawa beliau tidak akan ditahan sementara menunggu rayuannya berhubung perintah itu didengar, tetapi jawapannya adalah "bayar atau dipenjarakan".

Yii, yang mendapat penganugerahan daripada Ratu Elizabeth II pada 2007, mempunyai kepentingan perniagaan di Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Hong Kong dan Australia.

Katanya, beliau tidak pernah menghadapi masalah atau isu tentang penyata cukai asing sehingga 2010, apabila beliau menerima surat daripada ATO yang mahu melakukan audit cukai retrospektif ke atasnya bagi tahun yang berakhir pada 2001 hingga 2009.

Berdasarkan audit itu, ATO memutuskan Yii adalah pembayar cukai pemastautin berbanding pembayar cukai tidak pemastautin, yang sebelum ini telah diklasifikasikan.

Menurut peguam Datuk Alvin John, anak guamnya, Yii yang merupakan Pengerusi Kumpulan Syarikat Investwell itu telah memfailkan penyata cukai di Australia sebagai pembayar cukai tidak pemastautin sepanjang tempoh itu yang berakhir pada 2001 hingga 2009.

"ATO membuat tuntutan itu berdasarkan keputusannya bahawa Yii bukan lagi pembayar cukai pemastautin di Malaysia, beliau tidak lagi menetap di Malaysia dan beliau telah memilih Australia sebagai tempat tinggalnya.

"Ini bermakna di bawah undang-undang Australia, mereka boleh mengenakan cukai dunia," kata John.

Beliau menambah anak guamnya sentiasa menegaskan dan membuktikan bahawa beliau bukanlah pembayar cukai pemastautin Australia, tidak pernah bercadang menetap di Australia dan tidak pernah tinggal di sana lebih daripada setengah tahun.

Undang-undang Australia menyatakan bahawa seseorang perlu berada di Australia selama lebih daripada setengah tahun atau 183 hari untuk diklasifikasikan sebagai pembayar cukai pemastautin, kata John.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia atau warga asing yang mempunyai keluarga di Australia bagi tujuan pendidikan atau tujuan lain mungkin disifatkan sebagai pembayar cukai pemastautin Australia dan "dengan itu pendapatan mereka di seluruh dunia mungkin juga akan terjejas".

Seorang Perunding Cukai Australia berkata penentuan sama ada seseorang itu adalah pembayar cukai pemastautin atau pembayar cukai bukan pemastautin adalah berdasarkan tempoh penginapannya di Australia, "iaitu lebih daripada 183 hari".

"Bagaimanapun, terdapat faktor-faktor lain yang membolehkan individu itu dikategorikan sebagai pembayar cukai pemastautin seperti tingkah laku dan tindakan mereka.

"Sebagai contoh, jika seseorang membeli sebuah rumah untuk keluarga terdekat (isteri dan anak) untuk menetap di Australia sebagai penduduk tetap, ia boleh dianggap mempunyai niat untuk tinggal di Australia," kata Sabrina Ong yang merupakan rakan kongsi di Fortiz Accountants, berpangkalan di Victoria.

Yii memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Julai 2016 terhadap pesuruhjaya dan timbalan pesuruhjaya Percukaian Australia serta kerajaan Australia.

Yii memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah pembayar cukai pemastautin Malaysia, menetap di Malaysia, dan keputusan ATO bahawa beliau telah meninggalkan Malaysia dan memilih Australia sebagai kediaman tetapnya adalah batal dan tidak sah.

Defendan akan mengemukakan afidavit mereka pada 1 November.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain