suria

Hotel Bajet Di Seremban Didakwa Curi Air

SEREMBAN: Sebuah hotel bajet di Jalan Tuanku Hassan di sini, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan membuat penyambungan bekalan air tanpa kebenaran ke suatu paip utama awam milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains).

Wakil Happy Hotel, Chong Hoon Wai mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim N. Karageswari.

Berdasarkan fakta kes, pada 24 Januari 2011, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) telah menerima aduan daripada Sains yang merupakan pemegang lesen bekalan air awam di Negeri Sembilan, bahawa berlakunya perbuatan penyambungan paip bekalan air tanpa kebenaran ke suatu sesalur utama awam oleh pihak selain pemegang lesen di sebuah premis di Hotel Happy.

Hasil pemeriksaan pada hari berikutnya mendapati penyambungan air secara haram itu dilakukan tanpa melalui apa-apa meter air sah di premis berkenaan.

Pemeriksaan juga mendapati sambungan air berkenaan menggunakan 'ferrule' bersaiz 20mm yang kemudiannya disambungkan ke satu paip jenis poly bersaiz 20mm terus ke tangki simpanan air yang berada di bahagian atas premis tersebut.

Siasatan menunjukkan pihak Happy Hotel Sdn Bhd telah menyalahi undang-undang membuat penyambungan air tanpa kebenaran ke suatu sesalur utama awam tanpa kebenaran pemegang lesen bekalan air Negeri Sembilan iaitu pihak Sains yang mana penyambungan air ini tanpa melalui apa-apa meter air yang sah dan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 123 (1) (a)Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPAN Mohd Helmy Razelan.

Mahkamah menetapkan 10 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-- Bernama

Happy Hotel, Seremban, air, Sains

Artikel Lain