suria

Watson Nyambek Tidak Lagi Muflis

Watson Nyambek (dua, kanan) menerima replika kunci rumah, sambil disaksikan oleh Adenan. Foto STEPHEN THEN / The Star

MIRI: Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek atau popular dengan gelaran 'Flying Dayak' kini tidak lagi muflis.

Watson berkata, kerajaan negeri Sarawak telah menyelesaikan tunggakan pinjaman bank berjumlah RM80,000, yang digunakan untuk menanggung kos perubatan bapanya.

Watson diberikan satu lagi ganjaran iaitu sebuah rumah di Miri daripada Syarikat Perumahan Nasional Bhd (SPNB) dan Naim Holdings.

Beliau menerima replika kunci sebuah rumah teres satu tingkat dengan tiga bilik di kawasan perumahan Vista Perdana di sini, bernilai RM350,000 daripada SPNB dan Naim Holdings.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem turut hadir pada majlis penyerahan replika kunci di sini, Selasa.

Naim Holdings diwakili pengerusinya, Datuk Amar Hamid Sepawi.

Watson, lelaki terpantas di Malaysia yang memecah rekod 100 meter 18 tahun lalu menyuarakan rasa gembira kerana tidak lagi menanggung beban kewangan.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan dan kerajaan negeri kerana membantu menyelesaikan kes kebankrapan saya.

"Saya juga berterima kasih di atas pemberian rumah baharu. Saya bersyukur kerana saya tidak lagi bergelar muflis," katanya.

Tahun lalu, Watson diisytiharkan muflis susulan kegagalan beliau melunaskan bayaran balik pinjaman.

Watson Nyambek

Artikel Lain