suria

Air Pasang Besar: Jumlah Mangsa Di Kota Kuala Muda Meningkat

SUNGAI PETANI: Mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar di enam buah kampung di Kota Kuala Muda yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan meningkat kepada 94 orang daripada 27 keluarga berbanding 85 orang pada Isnin.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata pertambahan bilangan mangsa yang dipindahkan bagaimanapun hanya melibatkan penduduk kawasan Kampung Sungai Meriam.

"Sehingga pukul 4.00 pagi tadi, seramai 21 mangsa daripada enam keluarga telah dipindahkan berbanding hanya 12 mangsa daripada tiga keluarga, sewaktu pusat pemindahan di rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam dibuka pada pukul 1.30 pagi semalam.

"Bilangan mangsa di tiga lagi pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala, Dewan Kampung Paya dan Dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil kekal seperti sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Katanya seramai 29 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Masjid, Kampung Ujung Matang dan Kampung Padang Salim masih berada di SK Seri Kuala.

"Seramai 20 lagi mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Paya juga masih ditempatkan di Dewan Kampung Paya manakala 24 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Sungai Yu kini berada di Dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil," katanya.

Artikel Berikut

RUU Hadi Hanya Perlu Tunggu

Artikel Lain