suria

Individu Bawah Pengawasan Mati Ditembak

NIBONG TEBAL: Seorang individu yang berada di bawah pengawasan polis mati ditembak di sini awal pagi Selasa.

Dia yang berumur 21 tahun dan diawasi berhubung kes dadah ditembak setelah kereta yang dinaikinya bersama seorang rakan dikejar pihak polis sejauh 10 kilometer.

Rakannya itu kemudiannya ditahan dalam kejadian 5 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abd Samad berkata individu tersebut juga didapati tidak melapor diri kepada pihak polis dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata kejadian bermula apabila pasukan polis yang membuat rondaan di Taman Jawi Permai terserempak dengan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

"Pihak polis kemudiannya mengarahkan pemandu kereta itu agar mematikan enjin keretanya dan keluar dari keretanya. Namun pemandu terbabit terus memecut keretanya ke arah Jalan Sungai Duri," kata Shafee.

Beliau berkata kereta berkenaan turut merempuh tiga buah motosikal anggota polis dan sebuah kereta peronda.

"Pihak polis terpaksa mengejar kereta tersebut lebih 10 kilometer dari Taman Jawi Permai di Sungai Bakap hingga Jalan Sungai Daun sebelum melepaskan tembakan ke arah tayar dan bahagian belakang kereta itu sehingga ia terbabas ke dalam parit," katanya.

Beliau berkata pemandu kereta tersebut kemudiannya ditemukan mati manakala rakannya yang berumur 26 tahun tidak mengalami kecederaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain