Uda Rancang Bina 1,500 Rumah PR1MA Di Kuala Pahang - Semasa | mStar

Uda Rancang Bina 1,500 Rumah PR1MA Di Kuala Pahang

Perdana Menteri melayani permintaan untuk berselfie dengan peserta ketika menghadiri majlis Penyampaian Hadiah Uda Pekan Bridge Run 2016 pada Sabtu. -fotoBERNAMA

PEKAN: UDA Holdings Berhad (Uda) merancang untuk membina 1,500 unit rumah mampu milik menerusi pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuala Pahang, dekat sini.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah berkata untuk itu Uda telah mengadakan perbincangan dengan pihak PR1MA bagi rancangan pembinaan rumah berkenaan di tanah berkeluasan 58.6 hektar.

"Setakat ini, pihak PR1MA bersetuju untuk membina rumah tersebut di Kuala Pahang. Ia juga turut melibatkan pembangunan bercampur dan ini merupakan sumbangan Uda bagi membantu penduduk Pekan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah 'Uda Pekan Bridge Run 2016' di sini, Sabtu.

Upacara penyampaian hadiah berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Shafei berkata usaha Uda untuk membangunkan hartanah di kawasan Kuala Pahang itu dapat memberi banyak manfaat dari segi peningkatan ekonomi penduduk setempat di Pekan di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

Mengulas mengenai acara larian itu, beliau berkata ia julung kali dianjurkan Uda dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara dengan disertai 1,500 peserta.

Katanya acara larian sedemikian menyediakan platform dan ruang kepada orang ramai terutamanya penduduk sekitar Pekan melibatkan diri dengan aktiviti riadah sekali gus boleh mengeratkan tali silaturahim antara satu sama lain apabila  berinteraksi sesama mereka.

"Penganjuran acara larian seperti ini juga adalah peranan Uda untuk sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam melahirkan masyarakat sihat sekali gus mampu memacu peningkatan produktiviti negara," katanya.

Uda Holdings Berhad , PR1MA

Artikel Sebelum

Tingkat 5 Komtar Terbakar

Artikel Berikut

Rakyat Sokong Penuh Usaha SPRM - KKMM

Artikel Berkaitan

Artikel Lain