suria

Selangor Paling Terjejas Syor Persempadanan Semula

SHAH ALAM: Selangor akan menjadi salah satu daripada negeri yang paling terjejas jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan cadangan awal persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Sebahagian daripada kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi "terlalu besar" sementara yang lain akan mengecil dan mempunyai jumlah pengundi yang sedikit.

Wakil rakyat pembangkang mendakwa bahawa langkah SPR itu dilakukan untuk memberikan kelebihan kepada parti pemerintah bagi memenangi semula negeri ini.

Beberapa kerusi yang disandang Ahli Parlimen pembangkang terjejas teruk dengan penyingkiran sebilangan besar pengundi di kawasan-kawasan yang telah menyumbang ke arah kemenangan calon mereka pada pilihan raya umum lepas.

Ada juga kawasan yang menyaksikan pertambahan besar jumlah pengundi yang didakwa Ahli Parlimen pembangkang sebagai bukan daripada kalangan penyokong Pakatan Harapan.

Kawasan-kawasan berkenaan ialah Kapar (G. Manivanan-PKR), Subang (Sivarasa Rasiah-PKR), Gombak (Azmin Ali-PKR), Klang (Charles Santiago-DAP), Petaling Jaya Utara (Tony Pua-DAP), Kota Raja (Dr Siti Maria Mahmood-Amanah) dan Selayang (William Leong-PKR).

Leong berkata, enam kawasan perumahan yang didakwanya 'mesra PKR' telah dikeluarkan dari kawasannya yang akan menyebabkan beliau kehilangan kira-kira 14,000 undi.



Bagi kerusi DUN Seri Andalas yang terletak di bawah Parlimen Kota Raja, ia adalah salah satu daripada kerusi yang terjejas teruk dengan penyingkiran seramai 30,251 pengundi.

Menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, beliau memberi contoh bahawa kerusi yang diwakilinya akan dapat melihat peningkatan pengundi sebanyak 46 peratus iaitu daripada 97,252 kepada 141,275 pengundi.

Santiago berkata pengubahan sempadan kawasan pilihan raya hingga menyaksikan pertambahan pengundi yang terlalu besar menyukarkan wakil rakyat untuk menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.

Terdapat juga aduan bahawa kawasan etnik campuran sedang diubah menjadi kerusi majoriti Melayu.

Sebagai contoh, Sri Andalas akan kehilangan kira-kira 25,000 pengundi India dan Cina dan bakal menjadi kerusi majoriti Melayu.

Pelabuhan Klang akan turut terjejas dengan peningkatan bilangan pengundi Melayu.

DUN Sungai Pinang yang kini di bawah kawasan Parlimen Kapar juga akan melihat penurunan pengundi Melayu kerana ia akan dipindahkan ke Klang.

Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim yang juga exco kanan kerajaan Selangor berkata, langkah SPR adalah keterlaluan.

Teng berkata mengikut cadangan SPR, pengundi Cina akan meningkat daripada 65 peratus kepada 72 peratus manakala pengundi Melayu akan mengecil kepada hanya 7 peratus berbanding 30 peratus pada masa ini.

"Saya tidak lagi dapat berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum di kawasan saya kerana ia akan membentuk polarisasi kaum," kata Teng.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa persempadanan semula itu yang akan memberi manfaat kepada parti Islam itu.

Beliau berkata PAS juga akan kehilangan keistimewaan yang besar kerana beberapa kawasan pengundian, yang telah membantu kemenangan partinya telah dibawa keluar dari kawasan pilihan raya.

Beliau berkata, persempadanan semula boleh menyebabkan PAS kehilangan kerusi DUN Morib dan Sijangkang di Kuala Langat dan Selat Klang di Kapar.

"Sabak (Sabak Bernam), Hulu Kelang (Gombak) dan Tanjung Sepat (Kuala Langat) akan berada dalam bahaya.

"Cadangan ini adalah untuk memberi kelebihan kepada BN," kata Iskandar.

Naib Pengerusi MCA Bahagian Klang, Datuk Dr Ching Eu Boon berkata persempadanan semula itu memberi kesan terhadap perkauman.

"Ia kelihatan sangat perkauman dan ini tidak baik. Peningkatan jumlah pengundi di kawasan tertentu seperti kerusi Parlimen Klang iaitu daripada 97,252 kepada 141,275 pengundi juga akan menyukarkan wakil rakyat untuk memberi perkhidmatan yang berkesan kepada pengundi," kata Dr Ching.

Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah berkata beliau juga terkejut dengan cadangan berkenaan.

SPR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banyak Pihak Bantah Syor SPR

Artikel Lain