suria

Bajet 2017 Tumpuan Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat yang akan bermula  Isnin ini hingga 24 November depan sudah pasti tertumpu kepada pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2017 itu akan berlangsung pada 4 petang, 21 Oktober sebelum perbahasan di peringkat dasar dan jawatankuasa yang dijadual berlangsung sehingga minggu keenam.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 itu akan turut menyaksikan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) dibaca buat kali pertama iaitu RUU Bank Pelaburan Infrastruktur Asia 2016; RUU Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2016; RUU Undang-Undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016 dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2016.

Adalah Difahamkan RUU Persendirian, iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355) turut tersenarai dalam Aturan Mesyuarat kali ini.

Pada 26 Mei lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul RUU tersebut yang antara lain bagi meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah berkata sidang Dewan Rakyat pada Isnin ini akan dimulakan dengan majlis mengangkat sumpah dua anggota Parlimen iaitu Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Mohd Yazid yang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.

Kedua-dua wakil rakyat itu telah menghadiri satu sesi taklimat khas pada 27 Jun lalu berkenaan perjalanan dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat serta perkara lain yang berkaitan sebagai persediaan menggalas tanggungjawab sebagai anggota Parlimen.

Roosme berkata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga akan mengemukakan usul mengiktiraf dan mengucapkan tahniah kepada keseluruhan kontinjen Olimpik dan Paralimpik negara di Rio 2016 kerana mencapai prestasi terbaik pada kedua-dua temasya itu.

"Para atlet temasya berkenaan dijangka hadir pada sesi sidang Dewan Rakyat Isnin ini bagi menerima penghargaan tersebut," katanya kepada Bernama.

Sesi Dewan Rakyat kali ini juga akan menyaksikan pelaksanaan sesi khas waktu pertanyaan menteri (MQT), bagi membolehkan soalan isu serius dan mutakhir dijawab oleh menteri berkaitan.

Sesi selama 30 minit itu akan diadakan setiap Selasa dan Khamis sebelum bermulanya sesi pertanyaan jawab lisan.

Sesi MQT berkenaan akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi, dengan anggota Parlimen diperuntukkan masa selama seminit untuk mengemukakan pertanyaan dan menteri akan menjawab dalam masa tiga minit.

Ia merupakan sebahagian pelan transformasi Parlimen fasa pertama selain sesi Kamar Khas yang telah dilaksanakan bermula persidangan lepas.

Bajet 2017, Parlimen, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain