suria

Bekas Eksekutif Kewangan Bebas Tuduhan Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan seorang bekas eksekutif kewangan sebuah syarikat pengurusan bangunan daripada pertuduhan pecah amanah cek membabitkan jumlah RM17,870, enam tahun lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan membuat keputusan itu terhadap P. Uma Devi, 42, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti dan mempertimbangkan segala keterangan saksi pembelaan serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati bahawa syarikat ini adalah syarikat keluarga. Pengarah, pemegang saham syarikat, eksekutif dan kakitangan mempunyai hubungan saudara.

"Tertuduh menjelaskan semasa membela diri bahawa cek syarikat yang beliau keluarkan dipersetujui dan diluluskan oleh pengarah syarikat untuk tertuduh membuat perbelanjaan kerana tertuduh telah diceraikan oleh suaminya, dengan ini tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," kata hakim itu pada Jumaat.

Hakim Zulqarnain berkata mahkamah mendapati penjelasan tertuduh adalah berbarangkali dan mahkamah mengambil jalan selamat untuk tidak mensabitkan tertuduh.

Lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh, dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Uma Devi didakwa sebagai seorang akaun eksekutif di Fairview Properties Sdn Bhd yang diamanahkan dengan harta iaitu 16 keping cek Bank OCBC berjumlah RM17,870, telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di alamat 126, Jalan Berhala, Brickfields, di sini pada 2 Mac hingga 25 Dis 2010 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin manakala tertuduh diwakili peguam V. Rajadevan. - BERNAMA

Pecah Amanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain