suria

Dua Lelaki Ditahan Bersama Heroin, Syabu

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Dua lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan kira-kira 8.30 malam Isnin di pekan Gemas, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata lelaki berusia 30 dan 24 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis dan polis turut merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai kira-kira RM3,000 daripada mereka.

"Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tampin ternampak dua lelaki ini dalam keadaan yang mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara.

"Pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan 10 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin seberat 18.13 gram dan lima paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat tiga gram," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Hamazah berkata polis turut menemukan wang tunai RM2,570 dipercayai hasil jualan dadah.

Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, bagaimanapun kedua-duanya memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan. - BERNAMA

pengedar dadah, heroin, syabu

Artikel Lain