suria

BN Johor Bakal Hilang Majoriti Dua Pertiga

Dr Shahruddin Salleh.

JOHOR BARU: Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh keluar daripada Umno.

Pada Julai lalu, Adun Jorak itu meletakkan jawatan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Pagoh.

Khabar angin mengenai perkara ini tercetus selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis dalam satu kenyataan berkata Dr Shahruddin telah dilantik sebagai setiausaha agung parti tersebut.

Teka-teki sama ada beliau keluar daripada Umno masih belum terungkai kerana usaha untuk mendapatkan komen Dr Shahruddin tidak berjaya apabila panggilannya tidak berjawab.

Difahamkan, beliau mungkin membuat penampilan atau pengumuman dalam satu perhimpunan di Bukit Pasir, Muar malam Jumaat.

Muhyiddin dan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan menghadiri perhimpunan tersebut.

Terdahulu, Dr Shahruddin berkata beliau membantah keputusan MajlisTertinggi Umno kerana memecat Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti itu.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah berkata jika benar Dr Shahruddin meninggalkan Umno, ia merupakan detik bersejarah bagi pihak pembangkang untuk menafikan dua pertiga majoriti BN.


Artikel Berikut

Artikel Lain