suria

Pengarah JKR Melaka Didakwa Lagi, Kes Ubah Wang Haram RM4.1 Juta

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM4.1 juta.

Sebelum ini pada 29 Sept, Khalid, 56, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, atas 16 pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM1.28 juta.

Pada Khamis, Khalid, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu selepas ianya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memiliki wang berjumlah RM1,984,798.08 di akaun Amanah Saham Wawasan 2020 dan RM2,135,634.13 di akaun Amanah Saham Didik miliknya yang mana kedua-duanya merupakan hasil aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Amanah Saham Nasional Berhad, Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB), 201-A, Jalan Tun Razak, di sini, antara September 2015 hingga Julai tahun ini.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah menggunakan jaminan sama yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Melaka iaitu RM250,000 dengan seorang penjamin, sebelum ini.

Beliau turut memohon menggunakan syarat tambahan sama yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Melaka iaitu menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka pada setiap hujung bulan.

Ahmad Akram juga mencadangkan kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka untuk dibicarakan bersama-sama dengan 16 lagi pertuduhan itu.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Khalid tidak membantah terhadap permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 4 November untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Melaka. -- Bernama

Artikel Lain