suria

Peruntukan Kecemasan Baiki Kerosakan SMK Balung - Mahdzir

Mahdzir Khalid (dua, kanan) dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul (tiga, kanan) meninjau keadaan bumbung dewan sekolah SMK Balung yang musnah setelah sebuah helikopter TUDM Nuri melakukan pendaratan cemas di sekolah tersebut pada Selasa. Foto Bernama

TAWAU: Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukan kecemasan bagi membaiki kerosakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung dekat sini, akibat insiden helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di sekolah berkenaan, Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan kecemasan itu bagi membolehkan pembaikan segera dilakukan terhadap kerosakan bangunan sekolah itu.

Beliau berkata, kerja-kerja penilaian akan dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas pihak TUDM selesai melakukan siasatan dan membawa keluar badan pesawat itu.

"Laporan penilaian kerosakan itu dijangka dibuat oleh JKR minggu depan dan akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan," katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Balung, Selasa malam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibol.   

Beliau berkata, kerosakan di sekolah itu antaranya melibatkan kantin, surau serta bangunan dewan terbuka yang masih dalam pembinaan.

Mengenai peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) melibatkan pelajar SMK Balung minggu depan, Mahdzir berkata PT3 membabitkan 317 pelajar di sekolah itu akan terus dijalankan di sekolah berkenaan.

"Pihak sekolah telah mengenal pasti tempat yang sesuai bagi pelajar menduduki PT3," katanya.

Beliau berkata, pihak TUDM juga memaklumkan bahawa kerja-kerja siasatan dan membawa keluar badan pesawat itu akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga lagi.

"Sekiranya belum selesai dalam tempoh itu, ia tidak mengganggu pelaksanaan PT3 di sekolah itu," katanya.

Beliau juga berkata, seramai lapan pelajar cedera dan dirawat sebagai pesakit luar, manakala dua lagi mengalami trauma akibat insiden itu.

"Bagi dua pelajar yang mengalami trauma, pihak Jabatan Pendidikan akan memberi mereka kaunseling," katanya. - Bernama

Artikel Lain