suria

Pelajar Senior Rogol Rakan Sekolah Dalam Bilik Stor

MELAKA: Dua pelajar senior didakwa merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun di dalam kawasan sekolah di Jasin dekat sini.

Pelajar perempuan tingkatan satu itu mendakwa diheret masuk ke dalam bilik stor oleh dua pelajar senior kira-kira pukul 2.30 petang Selasa.

Sebaik berada di bilik itu, kedua-dua pelajar senior itu didakwa menanggalkan pakaian mangsa sebelum merogolnya.

Seorang kakitangan pentadbiran yang melalui kawasan kejadian, terdengar bunyi teriakan dan bergegas masuk ke dalam bilik stor itu untuk melakukan pemeriksaan.

Terkejut dengan kehadirannya, dua pelajar lelaki itu melarikan diri dan pelajar perempuan itu dibawa ke pejabat pengetua.

Semasa di bilik pengetua, pelajar wanita itu menceritakan bagaimana dia diheret masuk ke dalam bilik stor dan dibogelkan sebelum dirogol.

Difahamkan salah seorang pelajar lelaki mengaku melakukan perbuatan itu ketika disoal siasat pada keesokan harinya.

Namun dia mendakwa pelajar perempuan itu membenarkan perbuatan seksual tersebut.

Satu laporan polis dibuat di balai polis Jasin pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata polis menahan dua pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun untuk membantu siasatan kes tersebut.

"Kami sudah menghantar gadis itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Siasatan sedang dijalankan atas kesalahan rogol statutori," katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin mengakui amat terkejut dan tidak percaya insiden seperti itu berlaku.

"Perbuatan itu berlaku di dalam kawasan sekolah pada waktu siang. Sudah tiba masanya pihak sekolah memperketatkan kawalan keselamatan," katanya.


rogol, sekolah, Jasin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bentley Rempuh Medan Selera

Artikel Lain