suria

Lelaki Rentung Dalam Kebakaran Rumah

Anggota polis mengusung mayat seorang lelaki dipercayai berusia 50-an yang ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bunga Matahari, Tanjung Tokong kira-kira 6.30 petang Isnin. fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat yang didiaminya, berdekatan pangsapuri Uda di Jalan Tanjung Tokong, di sini Isnin.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti dan dipercayai berusia 50-an itu, ditemui rentung dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur di bawah runtuhan rumah berkenaan.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Edifitri Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.30 petang dan jentera pertama tiba di lokasi kebakaran kira-kira 13 minit kemudian.

"Semasa pihak bomba tiba, api sedang marak dan sebahagian rumah jenis bata dan papan itu telah terbakar. Lebih 90 peratus kediaman berkenaan musnah dalam kebakaran tersebut," katanya kepada pemberita di sini, malam Isnin.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.12 petang.

Mohd Edifitri berkata berdasarkan keadaan mangsa, lelaki berkenaan dipercayai cuba menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran di rumah  didiaminya itu.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya. - BERNAMA

rentung, Tanjung Tokong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain