suria

Selesai Ibadah Haji, Jemaah Kini Ziarah Destinasi Bersejarah

MAKKAH: Selepas menunaikan ibadat haji, jemaah merebut peluang untuk menziarahi destinasi bersejarah di sekitar kota suci ini.

Antara lokasi yang sering dikunjungi ialah Jabal Tsur, Jabal Rahmah di Padang Arafah, Muzdalifah, Mina dan Masjid Jaaranah.

Pada pagi Khamis, sejumlah 60 jemaah haji Destinasia Travels Sdn Bhd berkunjung ke tempat bersejarah di kota Makkah.

Diketuai Ustaz Nur Zamir Zakaria, lawatan dimulakan pada jam 8.30 pagi ke Jabal Tsur, iaitu sebuah bukit yang pernah memainkan peranan penting dalam proses hijrah baginda Rasul.

Bukit itu juga pernah menjadi tempat persembunyian tiga malam Rasulullah dan sahabat Abu Bakar yang melarikan diri daripada kafir Quraisy yang berpakat membunuh baginda.

Selesai kunjungan ke Jabal Tsur, rombongan jemaah haji menziarahi Jabal Rahmah dan ada di kalangan mereka yang menaiki bukit berkenaan yang pernah menjadi titik pertemuan di antara Nabi Adam dan Hawa.

Selepas itu jemaah melalui Muzdalifah dan Mina sekali gus mengimbau kenangan ketika menunaikan wajib haji.

Akhir sekali, jemaah dibawa ke Masjid Jaaranah iaitu satu daripada miqat untuk melafazkan niat umrah.

haji, Jabal Tsur, Muzdalifah, Mina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain