suria

Detik Cemas Terhidu Gas Klorin, Pengalaman Pahit Anggota Bomba

IPOH: Detik-detik cemas terhidu gas klorin ketika melakukan kerja-kerja meneutralkan gas berkenaan merupakan pengalaman pahit buat seorang anggota bomba yang telah berkhidmat selama empat tahun.

Abdul Faris, 26, dari Unit Pasukan Bahan Berbahaya (Hazmat), Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih berkata bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku padanya.

Menurut Abdul Faris, selepas melakukan kerja-kerja meneutralkan di sebuah kilang di Menglembu di sini, beliau membuka topeng muka untuk berehat.

"Secara tiba-tiba ada tiupan angin dan membawa semula gas klorin tersebut hingga mengakibatkan saya sesak nafas.

"Walaupun saya pakai semula topeng oksigen, pernafasan saya makin pendek sampailah saya rasa ada satu benda kuat menyentap jantung saya, memang masa tu saya risaukan anak dan isteri jika ada apa-apa terjadi pada saya," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, Ahad.

Anak kelahiran Pahang itu berkata isterinya yang kini berpantang di rumah keluarganya di Melaka selepas melahirkan cahaya mata pertama, akan datang melawatnya.

Abdul Faris berkata dia dijangka dibenarkan keluar dari hospital esok.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, sebuah tangki asid ferik di kilang memproses produk kloralkali di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu jatuh dan pecah sehingga menyebabkan bahan cecair itu bercampur dengan hipoklorit pada paip seterusnya menghasilkan gas klorin.

Bomba, Gas Klorin

Artikel Berikut

Artikel Lain