suria

Belasungkawa: Perginya Seorang Tokoh Agama Dihormati Rakyat

Datuk Dr Haron Din menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat di Hospital Stanford University, San Francisco.
KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama menghidap penyakit jantung, Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat di Hospital Stanford University, San Francisco.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di sisi anggota keluarganya.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Salleh serta lima anak, dua lelaki dan tiga perempuan.


Allahyarham dilahirkan pada 18 Ogos 1940, di Bohor Mali, Kangar, Perlis.

Anak kepada pasangan guru Al-Quran ini merupakan anak ketiga daripada 10 adik-beradik yang mendalami ajaran Islam.

Selain dikenali sebagai pemimpin PAS, Haron juga terkenal sebagai tokoh pendidik kekeluargaan Islam dan pengamal perubatan Islam.

Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am PAS pada Mac tahun lepas bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat.

Haron bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 ketika berusia 34 tahun sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.

Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-'Alawiyah al-Diniah, Al-Kuliah al-Islamiah sebelum menyambung pelajaran di Kolej al-Islamiah Klang, Selangor dan Kolej Islam Malaya.

Allahyarham kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Pendidikan di Universiti Kaherah sebelum menyambungnya di peringkat doktor falsafah dalam jurusan Syariah di Universiti Darul Ulum, Kaherah.

Selepas kembali ke tanah air, beliau kemudian bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan meneruskan khidmatnya dalam perubatan Islam.

Allahyarham Haron merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam kalangan umat Islam.

Darussyifa', yang ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi, kini memiliki lebih dari lima cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Haron juga pernah dilantik sebagai Anggota Majlis Penasihat Syariah di beberapa institusi perbankan termasuk Bank Negara Malaysia, CIMB dan Muamalah Financial Consulting.

Pada 2010, Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.

Mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan Hudud dalam Perudangan Islam.
Datuk Dr Haron Din, belasungkawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain