suria

PENDUDUK Sungai Yu, Hujung Permatang menghantar memorandum bantahan kepada Pegawai Daerah Kuala Selangor bagi menuntut pembahagian tanah secara adil daripada Kerajaan Negeri Selangor di luar perkarangan Kompleks Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Selangor pada 15 September 2016.

KUALA SELANGOR: Sekumpulan penduduk Kampung Sungai Yu di sini, mengadakan bantahan aman di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor bagi menuntut kerajaan Selangor membatalkan pembahagian tanah rizab seluas 15.7 hektar yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil.

Wakil kumpulan penduduk itu, P. Indran mendakwa pembahagian tanah yang dikhaskan kepada kaum India dilihat tidak menepati syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.

"Saya dapat maklumat senarai mereka yang dapat tanah ini bukan dalam kalangan penduduk (India) tempatan kawasan ini, malah ada golongan berkemampuan turut mendapat lot tanah tersebut. Bila saya minta mereka (Pejabat Daerah dan Tanah) keluarkan senarai nama, mereka kata ia adalah sulit dan rahsia.

"Macam mana kita nak tahu pembahagian ini dilakukan dengan adil sedangkan ramai lagi kaum India miskin di kawasan ini yang gagal mendapat lot tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, pembahagian lot tanah itu dilakukan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan dan dianggotai pegawai di peringkat daerah dan negeri.

Beliau berkata senarai nama individu terpilih termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan dan mereka perlu melalui beberapa tapisan sebelum diberikan hak milik, serta beberapa syarat termasuk tidak memiliki tanah, berusia 30 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan.

"Jika penduduk tidak puas hati berkenaan senarai nama itu, saya minta mereka kemukakan bukti nama mereka yang didakwa tidak layak tetapi telah mendapat tanah berkenaan.

"Mereka juga boleh kemuka aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka mendakwa ada wujud elemen rasuah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain